Khamis, 30 September 2010

Definisi pengurusan mesyuarat

     Terdapat beberapa definisi tentang pengurusan mesyuarat antaranya,mesyuarat ditakrifkan sebagai perundingan sesuatu dalam mencapai keputusan dan membolehkan urusan lain berjalan dengan lancar.Ianya dapat memudahkan segala urusan yang telah di rancang,kerana di dalam mesyuarat melibatkan lebih daripada seorang individu dan pelbagai idea serta keputusan dapat di capai.Mengikut Noresah Baharom(2000) mendefinisikan mesyuarat sebagai "perundingan untuk membicarakan sesuatu atau mencapai sesuatu keputusan,dan perbicaraan. 

     Selain itu,mesyuarat juga didefinisikan sebagai satu perhimpunan kumpulan bagi sesebuah pertubuhan yang menggabungkan idea untuk mencapai sesuatu matlamat,matlamat yang hendak di capai kebanyakannya dalam keadaan yang kompleks dan faktor inilah yang menyebabkan mesyuarat perlu di laksanakan. 

     Secara kesimpulannya,dapat dijelaskan bahawa mesyuarat dapat ditafsirkan sebagai perjumpaan ramai untuk berbincang dan mencapai sesuatu keputusan.Dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberi,idea yang bernas akan diperolehi daripada perbincangan dalam mesyuarat bersebut.Mesyuarat juga suatu bentuk komunikasi dua hala antara individu dalam situasi formal bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah yang berbangkit.
  
 sumber: Noresah Baharom. (Ed). (2000) Kamus Dewan (edisi ke-3). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Selasa, 28 September 2010

Kata alu-aluan

      Dengan penghasilan blog ini,pelbagai manfaat dan ilmu yang boleh dipelorehi serta maklumat ini dapat digunakan sebagai sumber rujukan untuk sesiapa sahaja,ia juga dapat meningkatkan serta menjadikan para penbaca lebih faham tentang ilmu pengurusan mesyuarat.Ilmu pengurusan mesyuarat ini juga merupakan ilmu yang penting untuk dipelajari terutamanya bagi sesebuah organisasi yang memerlukan perancangan dalam perniagaannya.Oleh itu,segala yang terkandung di dalam blog ini haruslah sama-sama kita manfaatkan dan dijadikan sebagai sumber ilmu.

     Akhir kata,melalui blog ini saya dapat mempelajari pelbagai ilmu yang berguna kepada diri saya dan dapat berkongsi kepada para pembaca.Saya juga amat berbesar hati kerana dapat menyumbangkan maklumat yang saya ada dengan para pembaca agar dapat dikongsi bersama.Saya berharap agar kita semua dapat sama-sama menyumbang idea yang bernas melalui apa cara sekalipun agar perkembagan idea dan pembelajaran dalam sesuatu perkara boleh berlaku.Semoga kita sama-sama dapat meningkatkan mutu pengetahuan agar dapat digunakan oleh generasi akan datang

wassalam.

Abdul Muhaimin Bin Ahmad

Tatasusila mesyuarat

     Dalam mesyuarat,terdapat beberapa tatasusila yang wajar diketahui iaitu:
i) Jangan datang lewat
  -seorang yang berjanggungjawab tidak seharusnya datang lewat sekiranya terdapat mesyuarat yang akan diadakan ketika itu kerana ia akan memberi kesan kepada perjalanan mesyuarat tersebut.Ini kerana setiap ahli mesyuarat mempunyai peranan masing-masing,sekiranya seseorang ahli mesyuarat itu datang lewat mungkin terdapat kekurangan yang akan berlaku didalam mesyuarat tersebut.Ia juga akan menyebabkan pembaziran masa mesyuarat tersebut.

ii)Elakkan gangguan semasa mesyuarat
 -Ketika sedang bermesyuarat,setiap ahli perlulah fokus dan tidak membuat bising kerana ia akan mengganggu perjalanan mesyuarat tersebut.Setiap maklumat yang diketengahkan harus diberikan perhatian.Sekiranya terdapat segelintir ahli yang tidak memberi perhatian,sudah tentu maklumat yang diketengahkan tidak dapat disampaikan secara keseluruhan.

iii)Cuba menjadi ahli yang aktif
  -Setiap ahli perlulah aktif dalam menjalankan sesebuah mesyuarat kerana idea daripada setiap ahli amat dititikberatkan bagi menjamin penghasilan pelbagai idea dan maklumat.Setiap ahli mesyuarat juga perlulah memberikan sumbangan idea yang berkesan,mereka perlu berfikir secara logik  dan matang agar maklumat yang diberikan bersebut benar-benar berguna untuk organisasi.

iv)Fokus kepada objektif mesyuarat
  -Setiap mesyuarat mempunyai objektif tersendiri,oleh itu objektif tersebut harus dicapai bagi membolehkan maklumat tersebut digunakan.Untuk mencapai objektif tersebut,setiap ahli perlu memberikan idea yang berkesan.Setiap ahli juga terpulah mencari perkara-perkara yang positif dan mengelakkan perkara yang negatif,ini bagi memudahkan objektif tersebut dapat dicapai dengan mudah.

Selasa, 21 September 2010

Minit mesyuarat

     Apakah yang dimaksudkan dengan minit mesyuarat?minit mesyuarat ialah satu hal atau perkara yang telah dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat dan persetujuan telah dicapai terhadap perbincangan tersebut.Ini bermakna catatan minit mesyuarat amat penting bagi membolehkan tindakan dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak yang terlibat dengan berkesan.Minit mesyuarat menjadi panduan perlaksanaan yang terlibat.Tanpa penulisan minit mesyuarat yang baik dan sempurna perlaksanaan mesyuarat juga tidak akan sempurna,ini bermakna minit mesyuarat adalah satu perkara yang penting kerana ianya akan merakamkan segala maklumat yang diajukan dan dibincangkan didalam mesyuarat tersebut.

     Terdapat kaedah dalam menguruskan minit mesyuarat,ia merangkumi pelbagai cara dalam menulis minit mesyuarat tersebut.Ada yang kelihatan kemas,rapi,jelas dan ringkas dan ada juga yang berjela-jela dan tidak mengikut peraturan dan format tertentu walaupun isi penting bagi sesuatu minit mesyuarat itu terdapat didalamnya.Bagi mewujudkan kesempurnaan dalam mesyuarat,minit mesyuarat perlulah lengkap dan teratur bagi memastikan segala maklumat tersebut diperolehi dengan lengkap.

     Sesuatu minit mesyuarat perlulah mengandungi tajuk iaitu nama mesyuarat berkenaan ,bilangan mesyuarat yang biasanya di tulis diatas sekali,tarikh mesyuarat iaitu bila mesyuarat tersebut akan diadakan,tempat mesyuarat iaitu dimanakah mesyuarat tersebut akan diadakan,senarai kehadiran iaitu bilangan ahli yang hadir dan jumlah tersebut perlulah dicatatkan,agenda mesyuarat,catatan mesyuarat dengan tindakan serta tandatangan penyelia mesyuarat.

     Dalam bahagian hal-hal lain,di catatkan segala perbincangan dan keputusan yang dicapai berhubungan dengan hal-hal lain yang dikemukakan oleh anggota yang tidak berkaitan dengan agenda tetapi berkaitan dengan kepentingan persatuan/pertubuhan dan perjalanan projek secara keseluruhan.Anggota lain ini juga mempunyai kepentingan dalam mesyuarat tersebut.Minit mesyuarat juga mempunyai bahagian penutup yang biasanya dicatatkan tarikh mesyuarat ditangguhkan dan ucapan terima kasih kepada pengerusi.



    

Khamis, 2 September 2010

Bahasa dalam pengurusan mesyuarat.

     Dalam pengurusan mesyuarat,terdapat beberapa bahasa yang sesuai digunakan bagi menyesuaikan teknik berbahasa di dalam situasi mesyuarat tersebut.Bahasa yang biasanya digunakan didalam pengurusan mesyuarat berbentuk formal,bahasa formal ini merujuk kepada bahasa yang lebih teratur di dalam proses komunikasi ,lengkap dan memerlukan semua strategi pertuturan yang memberi gambaran yang beradat hormat dalam konteks sesebuh komunikasi.Biasanya bahasa formal ini digunakan bagi memastikan proses mesyuarat berjalan lancar kerana setiap ahli mesyuarat memahaminya.

     Gaya bahasa pengurusan mesyuarat ditandai dengan struktur ayat dan ungkapan khusus seperti tindakan keatas laporan dan minit mesyuarat,.Contohnya seperti meminda,mengesahkan,membetulkan dan lain-lain lagi,di dalam ini gaya bahasa yang boleh digunakan perlulah berbentuk sopan dan menjaga hati setiap ahli mesyuarat.Selain itu,bahasa yang digunakan perlulah betul agar tidak berlaku salah faham ketika mesyuarat dijalankan,ianya perlulah bersesuaian dengan jenis mesyuarat tersebut.contohnya sekiranya mesyuarat yang dijalankan oleh sesebuah organisasi perniagaan bagi membincang soal strategi perniagaan,gaya bahasa yang bersesuaian digunakan perlulah bercorak perniagaan,seperti menggunakan laras bahasa ekonomi.

     Bahasa yang betul dalam mesyuarat adalah amat penting kerana ianya mencorakkan kematangan serta keberkesanan sesebuah mesyuarat tersebut.Setiap ahli mesyuarat perlu pandai mengolah bahasa didalam mesyuarat tersebut.Didalam mesyuarat,ayat keterangan sebab dan musabab adalah amat penting,kerana didalam mesyuarat akan membincangkan sebab mengapa mesyuarat tersebut diadakan dan musabab iaitu unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan.

Rabu, 1 September 2010

Peranan ahli mesyuarat dalam pengurusan mesyuarat.

     Selain pengerusi dan setiausaha,ahli mesyuarat juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan mesyuarat.Pelbagai kepentingan ahli mesyuarat seperti mereka dapat memberikan pandangan secara ringkas dan relevan,namun begitu pelbagai pandangan yang dapat di sumbangkan oleh setiap ahli mesyuarat kerana mereka juga berhak memberikan setiap pandangannya.Mungkin pandangan yang diberikan oleh setiap ahli mesyuarat tidak sama dengan pandangan pengerusi,oleh itu setiausaha boleh mencatatkannya dan dibentangkan kepada pengerusi.Kadang kala pandangan yang diberikan oleh ahli mesyuarat lebih bernas dari apa yang difikirkan oleh pengerusi,ini akan menguntungkan sesebuah organisasi dan mesyuarat diadakan untuk mengumpul sebanyak maklumat daripada setiap ahli mesyuarat yang terlibat.

     Ahli mesyuarat juga hendaklah mencatatkan idea-idea penting apabila ahli lain memberi pendapat dan hendaklah menghormati masa yang diperuntukkan oleh pengerusi semasa menyusulkan sesuatu cadangan,ini bagi memastikan apa yang disampaikan oleh pengerusi di terima dengan tepat.Ahli mesyuarat juga perlu menyusuli apa yang dibentangkan oleh pengerusi sebelum memberikan cadangan,ini bagi memastikan cadangan yang diajukan tidak bercanggah dengan matlamat mesyuarat itu dijalankan.

      Ahli mesyuarat terdiri daripada individu yang terlibat dalam organisasi seperti lembaga pengarah ,pemegang saham,pegawai-pegawai serta kakitangan organisasi tersebut.Individu inilah yang akan menjalankan tugas dalam mesyuarat tersebut.Mereka perlu mempunyai semangat bekerjasama atau berpasukan bagi membentuk atau mencapai matlamat yang diinginkan.

Peranan setiausaha dalam pengurusan mesyuarat

     Seorang setiausaha juga mempunyai peranan penting dalam pengurusan mesyuarat sesebuah organisasi.Mesyuarat akan berjalan lancar sekiranya pengerusi,setiausaha dan ahli mesyuarat bekerjasama dalam menjalankan tugas yang diberikan.Setiausaha berperanan dalam semua urusan mesyuarat iaitu sebelum,semasa dan selepas mesyuarat.Ini menunjukkan bahawa seorang setiausaha merupakan tunjang utama dalam proses membentuk atau melaksanakan mesyuarat.Setiuasaha amat diperlukan ketika sesi mesyuarat diadakan,kerana setiausahalah individu yang merancang mesyuarat tersebut.Walaupun kita sedia maklum bahawa pengerusi adalah seorang yang penting dalam msyuarat,tetapi sebenarnya setiausaha adalah individu yang menguruskan mesyuarat tersebut bukan pengerusi,ini bermakna setiausaha juga penting dalam pengurusan mesyuarat.
   
     Sebelum mesyuarat bermula setiausaha perlu berbincang dengan pengerusi tentang agenda sesuatu mesyuarat,bertanggungjawab mengedarkan surat-menyuarat,menyimpan, dan mengendalikan sistem fail,menyediakan agenda yang sempurna untuk diedarkan kepada ahli-ahli mesyuarat dan menguruskan sesuatu mesyuarat seperti membuat beberapa penempahan.Tanpa setiausaha,segala urusan sebelum mesyuarat sukar di lakukan dan segala tugas setiausaha tidak boleh diberikan kepada pengerusi.Setiausaha sesebuah mesyuarat perlulah seorang yang bijak dan cepat bertindak,ini kerana pelbagai urusan yang perlu dilakukan oleh setiausaha terutamanya jika mesyuarat itu terpaksa diadakan tanpa dirancang.

      Semasa mesyuarat dijalankan,tugas setiausaha ialah bertanggungjawab mengesan pelaksanaan keputusan mesyuarat untuk direkodkan,mencatat minit mesyuarat dengan ringkas dan tepat.oleh itu,seseorang setiausaha perlu mempunyai beberapa kemahiran dan kebolehan seperti peka dengan persekitaran,mahir mencatat dan bertindak.selain itu,setiausaha tidak seharusnya memberikan pandangan peribadi di dalam mesyuarat tersebut kerana ia akan menyebabkan urusan mencatat sukar dilakukan dan perjalanan mesyuarat tergendala.Setiausaha perlu peka terhadap segala isi yang dibentangkan dan suarakan oleh ahli mesyuarat supaya mudah untuk dicatat.

     Selepas mesyuarat,setiausaha perlu menyiapkan minit tersebut dan mengemaskinikannya untuk diedarkan kepada ahli selepas berbincang dengan pengerusi.Segala tugas ini di bawah pengendalian seorang setiausaha dan segala kesilapan harus ditanggung oleh setiausaha,ini menunjukkan seorang setiausaha memegang tanggungjawab yang besar yang harus dipikul.

Isnin, 30 Ogos 2010

Peranan pengerusi di dalam mesyuarat

     Di dalam sesebuah organisasi yang mengadakan mesyuarat,pengerusi mempunyai peranan utama untuk mengendalikan dan mengawal mesyuarat dari awal hingga akhir mesyuarat tersebut.Ini dapat menggambarkan betapa pentingnya seorang pengerusi di dalam sesebuah mesyuarat.Di dalam mesyuarat,pengerusi perlulah menjadi seorang yang kreatif dan mempunyai kebolehan membuat perubahan dan bertanggungjawab dalam segala penyelesaian masalah dan proses membuat keputusan dangan adil dan berkesan.

     Antara peranan pengerusi ialah mempengerusikan semua jenis mesyuarat,tidak sama ada mesyuarat itu berbentuk mesyuarat yang besar mahupun mesyusrat yang kecil.Pengerusi perlu bertanggungjawab dan memastikan kesempurnaan,tatatertib dan perjalanan semua jenis mesyuarat berjalan lancar dan memenuhi korum ahli yang secukupnya.Pengerusi perlu memastikan perjalanan mesyuarat mengikut segala agenda yang telah ditetapkan.Sekiranya haki mesyuarat tidak mengikut perbincangan dalam agenda yang telah ditetapkan,pengerusi berhak untuk mengawasi dan menentukan perkara yang dibincangkan itu mesti berdasarkan kepada agenda yang telah ditetapkan.

     Selain itu,pengerusi perlu bersikap adil dan saksama ketika mempengerusikan sesebuah mesyuarat.Sikap adil dan saksama yang ditonjolkan oleh pengerusi dapat mewujudkan suasana persekitaran mesyuarat yang aman sekaligus mendorong kepada proses membuat keputusan yang tepat dan berkesan.pengerusi yang mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan juga amat diperlukan di dalam sesebuah mesyuarat di mana ia dapat menyumbang kepada idea-idea yang bernas di dalam mesyuarat.Selain itu,pengerusi juga perlu memastikan tanggungjawab tersebut dilaksanakan oleh setiap ahli.

     Bidang tugas pengerusi juga ialah mempunyai kuasa undi pemutus sekiranya  tidak di capai oleh ahli mesyuarat.Ini kerana,pengerusi berhak membuat keputusan yang bernas dan tepat di dalam sesebuah mesyuarat berdasarkan pengalamannya.Pengerusi yang baik,bijaksana,adil dan bertanggungjawab merupakan pengerusi yang mudah dalam membuat keputusan dan di terima oleh setiap ahli mesyuarat sekiranya tiada jalan penyelesaian di dalam sesebuah mesyuarat.

Sumber: Omardin Haji Shaari. (2002). Kaedah mengendalikan mesyuarat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jenis-jenis mesyuarat

     Mengikut pendapat saya,terdapat pelbagai jenis pengurusan mesyuarat yang dapat saya huraikan di dalam topik ini.Ianya di sebabkan pelbagai fakta-fakta yang telah sedia kita ketahui tentang pengurusan mesyuarat.Antara jenis pengurusan mesyuarat adalah seperti berikut.

     Mesyuarat jenis arahan ialah sejenis mesyuarat yang memberi kuasa penuh kepada seorang ketua untuk membuat keputusan.Mesyuarat dijalankan dengan setiap kumpulan mempunyai ketua yang dilantik sebagai pengurus.Pengurus diberi kuasa untuk mengagihkan sesuatu tugas kepada ahli kumpulan.Oleh itu,pengurus bertanggungjawab di atas segala urusan.
     Mesyurat jenis penasihat pula ialah mesyuarat yang memberi kuasa kepada sesebuah badan bebas untuk membuat keputusan.Ahli-ahli mesyuarat dipilih berdasarkan pengalaman dan setiap ahli akan menghujahkan pendapat berdasarkan persetujuan.Keputusan yang diambil daripada kumpulan majoriti jika tidak setuju.
     Mesyuarat ketiga ialah mesyuarat demokratik.Keputusan jenis mesyuarat ini dibuat secara kolektif.Ahli-ahli mesyuarat sendiri mempunyai kuasa.Walau bagaimanapun,persetujuan perlu diambil kira keputusan majoriti dan akan diumumkan oleh pengerusi.Contohnya ialah mesyuarat ketua-ketua bahagian.
     Mesyuarat campuran ialah mesyuarat yang mempunyai dua atau lebih agenda.Keadaan ini agak menyulitkan pihak pengurusan yang membuat sesuatu keputusan.Biasanya mesyuarat jenis ini berbentuk taklimat dan keputusan berdasarkan undian dan juga autoriti seseorang.Contohnya ialah mesyuarat pelaksanaan sesebuah program.

     Selain itu,pengurusan mesyuarat juga boleh berlaku mengikut hari atau masa.Contohnya mesyuarat bulanan,biasanya mesyuarat ini dijalankan untuk mendengar perbentangan laporan setiap bahagian dalam organisasi.Setiap bahagian ini dikehendaki membentangkan laporan kemajuan setiap aktiviti yang telah dijalankan.Adakalanya seorang pengucap jemputan dipanggil untuk memberi ucapan setelah semua bahagian selesai membentangkan laporan mereka.

     Mesyuarat juga boleh dijadikan langkah untuk menetapkan keputusan.Dimana mesyuarat ini penting diadakan untuk membuat keputusan bagi sesebuah organisasi atau jabatan.Ini kerana mesyuarat dapat menyelesaikan segala masalah dan membuat keputusan dengan adil dan tepat.Contohnya mesyuarat jawatan kuasa pemilihan perlantikan dan kenaikan pangkat.

Sumber: Sulaiman Masri. (1997). Komunikasi berkesan: Penulisan bercerita,rencana,ulasan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Rabu, 25 Ogos 2010

Proses mengendalikan mesyuarat

      Di dalam pengurusan mesyuarat,terdapat tiga proses untuk mengendalikan mesyuarat iaitu pramesyuarat,pelaksanaan mesyuarat dan pasca mesyuarat.

 Pramesyuarat:
     Sebelum sesebuah organisasi memulakan mesyuarat,terdapat beberapa persediaan yang perlu dibuat seperti mengadakan perbincangan.dalam hal ini,setiausaha perlu berbincang dengan pengerusi mengenai beberapa perkara,antaranya menentukan tarikh untuk mengadakan mesyuarat,masa yang akan berlangsungnya mesyuarat,tempat untuk mengadakan mesyuarat dan agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

     Selain itu,sebelum memulakan mesyuarat setiausaha perlu memastikan persediaan kemudahan yang akan digunakan semasa mesyuarat bermula.Antaranya seperti tempahan tempat atau lokasi untuk bermesyuarat.Pastikan bilik yang ditempah berada dalam keadaan yang baik,kemas dan sedia untuk digunakan.Selain daripada tempahan bilik,setiausaha perlu membuat tempahan jadual ringan.

      Apabila selesai membuat tempahan,setiausaha perlu mengedar surat panggilan surat kepada ahli-ahli yang terlibat.Dalam hal ini,setiausaha perlu memastikan ahli-ahli mesyuarat menerima surat jemputan dalam tempoh 10 hari sebelum mesyuarat.

Pelaksanaan mesyuarat:
     Pengerusi sebagai individu yang memainkan peranan utama dalam sesuatu mesyuarat.Selain itu,peranan mesyuarat adalah dengan mempunyai individu-individu seperti setiausaha dan ahli mesyuarat.Ini adalah individu yang penting dalam sesebuah organisasi yang ingin melaksanaan mesyuarat.

Pasca mesyuarat:
     Selepas mesyuarat selesai,tugas setiausaha ialah menyediakan draf minit mesyuarat untuk kelulusan pengerusi.Draf ini ini hendaklah dikemukakan tidak lewat dari tiga hari selepas tarikh mesyuarat diadakan.Selepas itu,minit mesyuarat yang telah diluluskan oleh pengerusi hendaklah diedarkan kepada ahli-ahli mesyuarat tidak lewat dari satu minggu selepas tarikh mesyuarat diadakan.

Selasa, 24 Ogos 2010

Tujuan pengurusan mesyuarat

     Di dalam pengurusan mesyuarat,terdapat beberapa kepentingan mengapa mesyuarat perlu diadakan dalam sesebuah organisasi antaranya ialah dapat menjimatkan masa dan mempercepatkan kerja.Ini kerana mesyuarat yang diadakan mempunyai pelbagai idea yang dapat disumbangkan oleh petiap individu yang terlibat.

     Selain itu,sesebuah organisasi mengadakan mesyuarat untuk menyelaraskan pembahagian tugas melalui pengkhususan tugas terhadap individu yang terlibat.Oleh itu,tugas yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan tersusun sekaligus memudahkan perancangan dan juga perlaksanaan sesebuah organisasi.Beban tugas juga akan menjadi ringan.Mesyuarat juga bertujuan menyampaikan informasi terkini kepada kakitangan,ini kerana mesyuarat dapat mengumpul semua kakitangan organisasi pada satu masa dan maklumat yang hendak disampaikan dapat dilakukan secara serentak.Contohnya apabila terdapat rancangan baru atau beberapa perubahan untuk penambahbaikan kualiti dalam sesebuah organisasi,melalui mesyuarat segala urusan tersebut dapat dilaksanakan dengan mudah dan berkesan.

     Tujuan mesyuarat juga diadakan untuk menggalakkan percambahan idea kerana  tindak balas yang dikemukakan.Organisasi akan menjadi lebih mantap dan jitu sekiranya perkongsian idea diamalkan.Disamping itu,mesyuarat juga diadakan untuk menyelesaikan konflik dalam sesebuah organisasi.Ini kerana,melalui mesyuarat konflik tersebut dapat diselesaikan dengan adil dan saksama di mana setiap ahli perlu mempunyai fikiran yang terbuka untuk memberi dan mendapatkan nasihat.Selain itu,mesyuarat juga perlu bersifat tenang dan sabar semasa mengendalikan mesyuarat kerana ianya melibatkan perasaan ahli yang terlibat.      

Selasa, 17 Ogos 2010

PRAKATA


     Assalamualaikum dan salam satu Malaysia kepada para pengunjung dihormati.Setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan keatas yang maha esa kerana diberi kekuatan untuk menghasikan blog ini,diucapkan terima kasih juga kepada pihak yang banyak membantu saya dalam menghasilkan blog ini.Pelbagai cabaran dan rintangan yang saya lalui dalam menghasilkan blog ini. Atas saranan pensyarah saya yang meminta agar membina satu blog,di sini saya akan mengetengahkan tentang pengurusan mesyuarat di dalam blog saya.Tujuan saya memilih topik ini kerana saya melihat pelbagai maklumat yang dapat dibincangkan dan pelbagai kebaikan yang dapat dijadikan panduan kepada kita semua tentang pengurusan mesyuarat ini.Saya berharap agar segala maklumat yang saya sampaikan memberi impak yang baik kepada kita semua.
   
     Pengenalan terhadap pengurusan mesyuarat iaitu mesyuarat merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah organisasi seperti kelab,persatuan,syarikat dan sebagainya.Setiap individu perlu mengadakan perbincangan dalam bentuk mesyuarat untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan beberapa perkara,contohnya sesebuah syarikat yang ingin mencari sumber idea di dalam perniagaannya,mereka perlulah mengadakan mesyuarat bagi memperolehi sumber idea baru dan mendapat persetujuan dari semua pihak.Idea-idea yang bernas dapat digabungkan bagi mementapkan lagi sesebuah organisasi.Oleh itu,pengetahuan tentang pengurusan mesyuarat perlu diketahui oleh setiap individu agar sesuatu mesyuarat yang telah dirangka berjalan dengan lancar.

     Sekiranya terdapat salah dan silap di atas penulisan saya ini,diharap para pembaca dapat memberi komen dan pendapat agar saya dapat memperbetul setiap kelemahan saya di atas penulisan ini.Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing,oleh itu saya amat berbesar hati sekiranya para pembaca dapat memberikan pandangan yang sewajarnya di atas penulisan saya ini.


Wassalam.


Abdul Muhaimin Bin Ahmad